BANDARAYA MELAKA : Inspirasi warisan budaya masyarakat Melaka menjadi tarikan Encore Melaka iaitu persembahan teater bertaraf dunia diarah oleh Wang Chaoge.
Persembahan teater mega menggunakan kesan khas berteknologi tinggi berdurasi 70 minit ini mengimbas kembali kisah yang semakin dilupakan.
Ianya seperti kisah-kisah pelayaran awal di Melaka, pelayaran misi diplomatik Laksamana Cheng Ho, cerita tentang wau, cerita tentang ibu yang dikaitkan dengan kasih sayang individu terhadap Negeri Melaka serta pertembungan budaya Baba nyonya.
Persembahan lebih sejam itu melibatkan enam pementasan teater itu bagaikan tidak terasa apabila penonton disajikan persembahan yang tidak dicapai dek akal, menggunakan teknik dan kesan khas sangat halus seninya.
Penonton bagaikan dipukau kembali ke zaman 600 tahun lalu, dibawa menyelusuri zaman bermula dari empayar Melaka sehingga pembangunannya yang kini sudah menjangkau sehingga enam abad.
Persembahan oleh 200 artis profesional dan diselitkan dengan lagu latar belakang dan tarian yang menarik membuatkan penontong khusyuk, sekali gus lupa yang ia adalah sebuah teater.
Pementasan bertaraf dunia ini adalah kompilasi cerita budaya yang mencerminkan masyarakat majmuk dalam meraikan kepelbagaian dan keberagaman serta bersifat inklusif, sekali gus menzahirkan keharmonian yang wujud di Negeri Melaka.
Persembahan memukau itu berjaya membuatkan penonton tidak merasakan sia-sia membeli tiket kerana apabila tamat persembahan, penonton akan pulang dengan rasa kagum seperti namanya Imperssion City.
Encore Melaka menampilkan projeksi video yang inovatif dan mengagumkan serta set pentas haudralik bertingkat dengan pencahayaan dan teknik akustik termaju.
Encore Melaka bukan sekadar mementaskan teater biasa-biasa, tetapi pementasan teater satu-satunya di dunia yang menzahirkan kekayaan Melaka melalui susur galur sejarah dan budayanya bermula lebih 600 tahun lalu.
Bermula dengan sejarah kewujudan Melaka, penonton dibawa menyelusuri sejarah panjang kewujudan dan keharmonian masyarakat majmuk di bumi bertuah ini.
Encore Melaka merupakan pentas teater terbesar di Asia yang boleh menempatkan lebih 2,000 penonton dalam satu sesi pementasan di atas platform unik boleh berputar 360 darjah.
Bangunan teater ini direka oleh Wang Ge dari Institut Reka Bentuk Seni Bina Beijing, China, ia merangkumi kawasan seluas 15 hektar tanah berhadapan pemandangan Selat Melaka.