Encore Melaka kumpul dana hampir RM60,000
Teater bertaraf dunia, Encore Melaka yang terletak di Impression City telah mengadakan tiga pertunjukan tertutup pertamanya, Encore Melaka Impression Series.
Dianjurkan oleh Syarikat Yong Tai Berhad, persembahan berdurasi 70 minit ini telah menyaksikan penceritaan semula tentang kisah-kisah terkenal negeri melaka.
Persembahan yang mendapat sambutan cukup hebat ini telah diarahkan oleh pengarah terkenal, Wang Chaoge yang sebelum ini pernah terlibat dalam upacara Pembukaan Sukan Olimpik Beijing 2008.
Seramai 6,000 pelajar dari 44 buah sekolah telah dijemput untuk menghadiri acara istimewa ini dan sekali gus menjadi antara penonton pertama yang merasai pengalaman penonton di panggung Encore Melaka.
Antara sekolah yang terlibat ialah SJKC Ayer Keroh, SMK St Francis, Sekolah Tinggi Pay Fong, SKJC Malim dan lain-lain.
Persembahan pembukaan untuk tujuan amal ini juga telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM60,000 yang disalurkan ke pusat hemodialisis Yayasan Toh Puan Zurina, sebuah pusat hemodialisis yang menawarkan rawatan dialisis untuk pesakit buah pinggang berpendapatan rendah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yong Tai Berhad, Datuk Wira Boo Kuang Loon, Encore Melaka bukan hanya sebnuah pertunjukan, tetapi ia seorang penaung Encore Melaka.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Toh Puan Zurina, YBhg, Datuk Hajah Radhuana Salleh pula menyifatkan, Encore Melaka dan pihaknya berkongsi nilai yang sama iaitu mahu membantu masyarakat sekeliling.
Kami terharu dan berterima kasih kerana ‘Encore Melaka sudi membatu Melaka dan rakyatnya serta telah membantu memberikan sokongan yang kami perlukan.
‘Dengan dana yang diberikan kami mampu mendapatkan ubat – ubatan yang terbaik untuk para pesakit dan membantu pusat kami beroperasi sepenuhnya’ katanya.
Teater Encore Melaka mempunyai pemetaan tayangan video yang inovatif dan menakjubkan, selain set-set hidraulik multi pentas, dan teknik-teknik pencahayaan dan akustik yang canggih.
Malah ia juga merupakan teater yang mampu memuatkan lebih daripada 2,000 penonton di atas platform di dalam panggung berputar 360 darjah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
Inklusiviti Melaka pula dipamerkan menerusi gabungan tarian tradisional dan kotemporari yang dipersembahkan oleh 200 orang penari.
Teater yang terletak di lokasi paling terkenal di Melaka iaitu di tepi pantai di Kota Melaka, Impression City @ Kota Syahbandar ini akan dibuka kepada orang ramai mulai 1 Julai depan.
by Sinar Harian